(Mengenang Kematian Hamka, 24 Julai 1981)
Hari itu hari Jumaat. Hujan turun dengan lebat sekali. Orang mula berpusu-pusu menuju ke rumahnya, rumah Raden Patah. Sesak. Bahu jalan dipenuhi kereta. Bukan semakin berkurang, tetapi semakin banyak. Usai sahaja solat Jumaat, hujan turun bertambah lebat. Betapa berkat.
Faisal Tamim datang memberitahu, "Kubur sudah siap digali."
Segera jenazah ingin dimandikan. Rencananya akan disolatjenazahkan di Masjid al-Azhar. Tiba-tiba ada panggilan telefon, katanya Presiden Soeharto mahu melihat wajahnya buat kali terakhir. Rombongan demi rombongan kerajaan, wakil-wakil parti dan pelbagai lagi tiba. Melihatnya dengan wajah yang murung. Langsung menyedekahkan al-Fatihah.
Ada yang membaca Yasin. Ada yang dari tadi tak habis-habis membaca al-Quran.
Rumah semakin sesak dan penuh. Tak mungkin lagi solat akan dilakukan di rumah. Tak mungkin. Jenazah segera diusung untuk dibawa ke Masjid Al-Azhar. Sampai sahaja di sana ribuan manusia rupanya sudah siap menunggu. Jenazah diusung, diarak, dan tiba-tiba ada jeritan "Allahu Akbar", lantas disambutnya oleh ribuan jemaah, "Allahu Akbar".
Jenazah diimamkan oleh K.H Hasan Basri. Tak ada pidato apa-apa. Manusia penuh. Kereta sesak dari jalan Sisingamangaraja sampai jalan Tanah Kusir. Sedikit pergolakan berlaku tentang dimanakah seharusnya buya dikebumikan? Zaki, anaknya yang sulung berkeras, di mana dia meninggal di situlah dia akan dikebumikan. Semua orang tahu tempat asalnya dan semua orang tahu siapa dia.
Selamat tinggal buya. Selamat tinggal. Pergilah. Waktumu telah tiba. Temanmu Yang Maha Tinggi terlalu mencintaimu. Tugasmu telah sempurna. Engkau mati dalam senyuman, kami mengirinya dengan tangisan.
Ya buya, engkau takkan pernah hilang ingatan kami.
Selamanya.
Hafizul Faiz
24 Julai 2016
(Catatan Khas mengenangkan Buya Hamka yang wafat pada 24 Julai 1981).
No comments:
Post a Comment